Pangkat-pangkat dalam Wehrmacht Wehrmacht

Reichsmarschall

Reichsmarschall ("Marsyal Empayar") adalah pangkat tentera yang paling tinggi dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan pangkat Jerman. Pangkat ini satu-satunya dipegang oleh Hermann Goering, pemimpin Nazi yang paling berkuasa di Jerman selepas Adolf Hitler. Goering juga berkhidmat sebagai ketua Luftwaffe dan telah bertanggungjawab keatas ekonomi perang Jerman. Pangkat ini bertaraf 6 bintang mengikut standard antarabangsa.

Generalfeldmarschall dan Grossadmiral

Pada tahun 1936, Hitler menghidupkan semula pangkat Fil Marsyal, pada asalnya hanya untuk Werner von Blomberg, iaitu Menteri Perang dan Panglima Angkatan Tentera. Kemudian pangkat fil marsyal ini berkembang pada Perang Dunia II dan seramai 25 orang telah dilantik dari kalangan Heer dan Luftwaffe. Pada tahun 1939, Hitler juga menghidupkan semula pangkat Laksamana Besar dan hanya 2 orang yang dilantik dari Kriegsmarine. Kedua-dua pangkat ini bersamaan dengan jeneral/laksamana 5 bintang mengikut standard antarabangsa.

Generaloberst dan Generaladmiral

Pangkat Generaloberst sering diterjemah sebagai Kolonel Jeneral, tetapi yang paling tepat adalah "Jeneral Kanan", pangkat ini bersamaan dengan jeneral 4 bintang sekarang. Pangkat Generaladmiral pula diterjemah sebagai Laksamana Jeneral atau "Laksamana Kanan" dan bersamaan dengan laksamana 4 bintang sekarang.

General dan Admiral

Pangkat General dan Admiral 3 bintang ini secara rasminya dikaitkan dengan Heer, Luftwaffe dan Kriegsmarine: sebagai tambahan kepada General der Kavallerie, General der Artillerie dan General der Infanterie yang telah lama wujud ini, Wehrmacht juga memperkenalkan General der Panzertruppe (Pasukan Armor), General der Gebirgstruppe (Pasukan Gunung), General der Pioniere (Kejuruteraan), General der Nachrichtentruppe (Pasukan Semboyan), General der Fallschirmtruppe (Pasukan Payung Terjun), General der Flieger (Juruterbang) dan General der Flakartillerie (Artileri Udara). Pangkat-pangkat ini setaraf dengan Leftenan Jeneral dan Laksamana Madya dalam dunia moden sekarang.

Generalleutnant dan Vizeadmiral

Generalleutnant (Leftenan Jeneral) Jerman yang berpangkat 2 bintang ini biasanya seorang panglima senior divisyen, setaraf dengan Vizeadmiral (Laksamana Madya) dari Kriegsmarine dan bersamaan dengan "Mejar Jeneral" dan "Laksamana Muda" sekarang.

Generalmajor dan Konteradmiral

Generalmajor (Mejar Jeneral) Jerman yang berpangkat 1 bintang ini biasanya seorang panglima junior divisyen atau briged begitu juga Konteradmiral (Laksamana Muda). Staf kor Wehrmacht, perubatan, veterinar, kehakiman dan paderi, menggunakan jawatan khas untuk para jeneral mereka, dengan Generalarzt, Generalveterinar, Generalrichter dan Feldbischof bersamaan dengan Generalmajor; Generalstabsarzt, Generalstabsveterinar dan Generalstabsrichter bersamaan dengan Generalleutnant; dan (yang unik) Generaloberstabsarzt, Generaloberstabsveterinar dan Generaloberstabsrichter bersamaan dengan General. Dengan pembentukan Luftwaffe, para jeneral tentera udara mula menggunakan pangkat yang sama seperti tentera darat. Lencana bahu adalah sama dengan yang dipakai oleh tentera darat, tetapi ditambah dengan pelapik kolar khas yang direka untuk jeneral-jeneral Luftwaffe.